Cerita pasal rumah, tahun lepas betul-betul sebelum Raya Aidilfitri di akhir-akhir Ramadan, gua dan isteri sudah sepakat mahu membeli rumah. Tak dapat sangkal, harga rumah di Lembah Klang semua mahal bagai nak gila. Melambung macam tinggi hidung. Rata-rata rumah berukuran kecil sederhana boleh mencecah RM800k. Gua kata kepada isteri, "ini gila babi!". Kalau dulu orang kata jutawan saja yang boleh tinggal rumah berjuta, tapi sekarang kerani juga boleh, tapi berjutalah hutang sampai ke tua. Nak tak nak, kita terpaksa juga beli kerana rumah itu keperluan asas selain air dan api. Warga Paleolitik berpindah juga kerana 3 aspek ini. Ini serius!
Kami hampir berputus asa. Sudah terbayang akan menyewa sampai tua. Lalu di akhir pencarian, kami jumpa. Satu rumah yang tak sampai juta pun dengan lokasi yang agak tenang dan entri mudah. Kami rakyat marhain juga mahukan ketenangan dan keselesaan. Gua tengok luar, gua kenan. Gua masuk dalam, gua kenan. Dalam hati "Ini jodoh kami". Setelah gua kasi kawtim harga dengan agen rumah, seorang cina yang sangat fasih berbahasa Melayu, kami jadi angkat. Ini kisah tahun lepas Ogos 2012. Lalu bermulalah proses jual beli yang agak lama sebelum sampai kunci rumah di tangan gua pada tahun ini Jun 2013. Perjalanan tak tamat di situ.
Kondisi rumah seperti baru, tak pernah tinggal sejak mula ia dibeli oleh pemilik sebelum gua dari pemaju, tahun 2009. Setelah dikaji, begitu banyak juga kos yang perlu keluar sebelum kami boleh tinggal. Nasib baik tahu juga gua dalam 'wiring', oleh itu kos 'wiring' boleh kurang sebab bikin sendiri. Yang kos lain agak pening. Tak mengapa. Allah sudah aturkan segalanya. Mesti ketemu jalan. Ketemu rumah ini juga Dia yang temukan. Syukur.
Sebelum gua dapat kunci, sempatlah gua design sendiri model rumah dengan plan lantai yang ada. Sempat juga gua lakar apa yang gua nak bikin untuk hiasan dalaman dan renovasi. Isteri gua seronok tengok model, apa taknya, kami masuk rumah itu cuma sekali, waktu bersama agen. Sekarang, model ini gua kena 'verify' segala ukuran sebelum gua boleh kasi sama kontraktor.
Oh ya! Nama jalan rumah, Jalan Pulau Lumut. Kenapa Lumut? Ada lumut lawa, bikin perhiasan, bikin tenang. Ada juga lumut lawa, orang tak endahkan. Lumut juga makhluk Allah. Yang berzikir setiap masa. Insyallah di Jalan Pulau Lumut ada banyak ketenangan. Amin.
Perjalanan kami diteruskan..