Terimalah Kasih

1 comments
Terimalah Kasih

Assalamualaikum, brader.

Al-kisah..

Gua seperti di setiap hari berbaju Kemeja-T hitam, berseluar Jeans lusuh dan berkasut Converse ke pejabat. Memang begitu. Pekerjaan gua sebagai Digital Design Engineer bukan kemestian berpakaian kemas seperti kemas mereka di bidang lain. Cukup sekadar molek. Sekitar pejabat gua di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil ini ada begitu ramai pelajar luar negara dan begitu ramai mereka yang bekerja di pejabat. Rata-rata berpakaian kemas, seluar slack dan berkemeja tuck-in. Sewaktu gua di kafe mahu santap tengahari, sambil gua bawa makanan ke meja yang masih ada sisa makanan untuk duduk dan makan, gua ditegur oleh seorang gadis Melayu bertudung. Mahukan pertolongan. Dia panggil gua ke mejanya. Rupanya dia mahu gua angkatkan bekas air basuh tangan cafe yang penuh dan membersihkan mejanya.. Gua senyum. Lalu diangkat bekas basuh tangan itu dan gadis itu terus duduk dan layan phone. Buat bodoh. Waktu itu gua masih lagi di tepi meja sambil memegang bekas basuh tangan tadi. Gua terfikir, "Apa Melayu sudah hilang kalimah Terima Kasih?" Tak mengapa. Gua letakkan bekas basuh tangan di meja yang gua nak duduk dan pergi ke gadis itu kembali. "Maaf, dik. Terima kasih kerana tak berterima kasih dan saya bukan pekerja kafe ini".. Gua senyum dan terus blah. Gua dah lapar nak makan. 

Perkara yang sama terjadi lagi beberapa minggu selepas itu. Kali ini seorang pelajar luar negara, mungkin dari Uzbekistan. Sebelum gua katakan yang gua bukan pekerja kafe, gua angkat cawan dan sempat dia mengatakan "Thank you very much". Sambil senyum. Selepas gua katakan yang gua bukan pekerja kafe, dia katakan "Sorry, sir. I'm really sorry". Nampak tak apa bezanya? Orang luar lebih-lebih lagi berbudi bicara dari orang kita.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa gua tak beri tahu pada awalnya pada mereka yang gua bukan pekerja kafe. Gua nak cuba rasa jika di tempat seorang pekerja kafe. Lagi pun tak salah jika tolong angkatkan cuma satu cawan dan satu bekas air basuh tangan untuk keselesaan orang lain. Pasti ada ganjarannya nanti. Persoalannya, bukan tersalah adil watak dan imej luaran tapi mana pergi santun bicara kita?

Kita orang timur. Kita bangga kita orang timur. Bangga kerana kita kaya. Bukan kaya dengan harta berjuta-juta tapi kaya budi bahasa dan adab nan ayu. Orang kita, dalam kurang ajar pun masih bersopan. Dalam teguran dan makian pedas masih berkiasan. Itu yang kita bangga. Tetapi mustika itu yang makin malap. Hilang di tengah-tengah padang pasir teknologi yang gah tapi isinya zero. Mana salahnya? Salah siapa? Lu? Gua? atau mereka? Atau leluhur nenek moyang kita yang tak reti mengajar? Gua rasa bukan salah mereka itu. Salah kita.



1 comment

17 December 2013 at 04:44

chewaaaahhhh! haha

Reply
Post a Comment